Khamis, 16 September 2010

Alor Setar, 16 September 2010.


1. Bertempat di kediaman Dato' Yusof Ismail , telah berlangsung majlis pelancaran Perkasa Daerah Kota Setar yang telah dirasmikan oleh Yang Dipertua Perkasa Negeri Kedah, Tuan Syed Osman Mansor.

2. Dengan pelancaran tersebut Perkasa Kedah kini semakin hampir kepada melunaskan tugasnya dalam rangka mewujudkan Perkasa di setiap daerah di negeri Kedah.

3. Di majlis yang dihadiri hampir 70 orang tetamu tersebut Syed Osman dengan jelas menegaskan bahawa Perkasa akan kekal sebagai sebuah NGO dan tidak mungkin akan menjadi sebuah parti politik kerana matlamat perjuangan Perkasa adalah menjadi suatu venue penyatuan bangsa.

4. Perkasa juga tegas beliau adalah milik orang Melayu dan bukannya milik mana-mana parti politik, ketika mengulas kenyataan Datuk Tengku Adnan tempohari yang mahu Perkasa dijauhkan dari UMNO. Tegas Osman lagi, kenyataan tersebut tidak akan memberi sebarang kesan malahan mutakhir ini lebih banyak permohonan untuk menyertai Perkasa diterima dari orang Melayu yang menunjukkan minat untuk menyertai NGO tersebut .

5. Tegas beliau lagi, sekiranya UMNO bimbang sekiranya ber"sahabat" dengan Perkasa bakal menjauhkan pengundi bukan Melayu dan akan merugikan BN sepertiman kekalahan teruk mereka dalam PRU-12 lalu, Perkasa sebenarnya wujud hanya selepas melihat kejatuhan BN dan UMNO.

6. Hilangnya majoriti BN pada PRU-12 lalu bukanlah kerana Perkasa tetapi disebabkan rakyat sudah tidak yakin terhadap kepimpinan UMNO. Beliau juga mengajukan pertanyaan berikut, "apakah dengan menjauhkan Perkasa maka UMNO dan BN akan dapat undi bukan Melayu seperti yang diharapkan? Apakah UMNO tidak pernah memikirkan kebarangkalian-kebarangkalian UMNO dan BN langsung tidak mendapat sokongan bukan Melayu hatta Orang Melayu sendiri?"

7. Turut hadir dimajlis tersebut ialah Saudara Zahran-Timbalan YDP Perkasa, Saudara Mej (B) Anuar Abdul Hamid-Pengerusi Perkasa Daerah Kuala Muda, Dato' Ariffin Man-Pengerusi Perkasa Daerah Pokok Sena dan Saudara Shahrol Niza-Ketua Wira Perkasa Kedah

Selasa, 14 September 2010

TAHNIAH PDRM


1. Pihak PERKASA negeri Kedah ingin merakamkan ucapan tahniah serta rasa bangga di atas kejayaan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang telah menyelesaikan siasatan kes pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan 3 orang lagi dalam tempoh yang singkat.


2. Kejayaan ini juga membuktikan bahawa PDRM komited dan mempunyai tahap profesionalisme yang tinggi dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka serta memastikan bahawa keselamatan negara berada pada kedudukan yang terbaik.


3. Perkasa percaya dengan kemampuan yang telah ditunjukkan oleh PDRM, rakyat khususnya dan negara umumnya tidak perlu lagi khuatir akan keselamatan mereka. Namun begitu Perkasa sentiasa berharap agar PDRM akan sentiasa memastikan bahawa mutu perkhidmatan mereka akan terus dipertingkatkan lagi demi mempertingkatkan tahap keyakinan rakyat terhadap mereka.


4. Tahniah PDRM dan Selamat Hari Raya.

Selasa, 7 September 2010

Selamat Menyambut Aidil Fitri diucapkan kepada seluruh umat Muslimin & Muslimat amnya dan seluruh ahli PERKASA khususnya.
Dalam kemeriahan merayakan kejayaan mengekang hawa nafsu jangan pula kita lupa kepada tanggungjawab memperkasakan jiwa dan semangat untuk berbakti kepada Agama, Bangsa dan Negara yang tercinta ini.
Sama-sama kita semarakkan kemeriahan aidil-fitri ini dengan tekad memelihara dan mengekalkan keamanan, kesejahteraan dan kemakmuran yang telah, sedang dan akan kita kecapi.
Salam Aidil-Fitri dari ; YDP Perkasa Negeri Kedah dan seluruh Ahli Jawatankuasa Negeri Kedah

Isnin, 12 April 2010

PELANCARAN PERKASA DAERAH PADANG TERAP

11 April 2010



Sehari selepas pelancaran penubuhan Perkasa Daerah Sik, kini tiba giliran daerah Padang Terap menerima kehadiran Perkasa ke kawasan tersebut. Majlis serba ringkas tapi padat dengan pengisian tersebut cukup meninggalkan kesan kepada para hadirin.

Antaranya yang menarik ialah Sajak yang bertajuk "Seorang Tua Bernama Pak Tua" yang telah dideklamasikan oleh Tuan Syed Mahathir.


Majlis pelancaran penubuhan tersebut telah disempurnakan Timbalan YDP Perkasa Kedah, Saudara Zahran Dato Paduka Abdullah. Dalam ucapannya beliau menegaskan halatuju Perkasa yang berpaksikan kepada 6 teras perjuangannya dan dengan berpegang teguh kepadanya maka setiap ahli pasti tidak akan "tergelincir" dari matlamat asalnya.

Penghulu Latih pula diawal ucapannya, beliau amat bersyukur kerana akhirnya Perkasa dapat ditubuhkan di daerah Padang Terap. Beliau yakin dengan wujudnya Perkasa di daerah tersebut akan dapat menyemarakkan lagi semangat perjuangan orang Melayu di sana.
Turut hadir ke majlis pelancaran tersebut Ketua Wira Perkasa Kedah, Saudara Shahrol serta ahli jawatankuasa Perkasa Daerah Pendang dan Pokok Sena.



Majlis tersebut juga telah menyaksikan bekas wakil rakyat dan penghulu iaitu Tuan Haji Latih Abdul Saman telah dilantik sebagai Pengerusi Perkasa Daerah manakala Tuan Syed Mahadzir pula sebagai Timbalan Pengerusi. Kedua-dua mereka merupakan orang lama dan cukup berpengalaman dalam pendidikan dan pentadbiran.




Hampir 200 orang memohon menjadi ahli di majlis pelancaran Perkasa Daerah Padang Terap.

PELANCARAN PERKASA DAERAH SIK

10 April 2010


Bertempat di tebing sungai Kampung Cemara, Jeniang, majlis pelancaran Perkasa Daerah Sik telah disempurnakan oleh Yang Dipertua Perkasa negeri Kedah, Tuan Syed Osman Mansor.

Majlis tersebut juga menyaksikan lebih dari 200 orang hadirin memohon menjadi ahli Perkasa itu juga bersempena program Joran Ria - iaitu pertandingan memancing yang dianjurkan oleh penduduk di kawasan tersebut.


Dengan pelancaran tersebut juga telah menjadikan Sik sebagai daerah ke 7 wujudnya Perkasa.


YDP Perkasa, Tuan Syed Osman Mansor didalam ucapannya mengalu-alukan penyertaan orang ramai ke dalam Perkasa yang kini begitu mendapat sambutan kerana perjuangannya.


Beliau juga mengingatkan kepada ahli baru agar tidak mempolitikkan Perkasa kerana sebagai sebuah NGO matlamatnya bukanlah bagi mendapatkan mileage politik tetapi lebih kepada mempertahankan hak-hak orang Melayu sebagaimana termaktub didalam Perlebagaan Malaysia.



Turut hadir di majlis pelancaran tersebut, Timbalan YDP Perkasa Kedah - Zahran, Ketua Wira Perkasa Kedah - Shahrol Niza dan beberapa ahli jawatankuasa Perkasa Daerah Pendang.

Syed Osman berbicara dengan pengerusi penganjur, Saudara Nazri Abu Hassan.

Khamis, 4 Mac 2010

PENUBUHAN MAJLIS PERUNDINGAN NGO MELAYU (MPM)

PENUBUHAN MAJLIS PERUNDINGAN NGO MELAYU
(MPM)

Pada 27 Februari 2010, lebih daripada 50 Badan bukan kerajaan (NGO) Melayu berhimpun di Kelab Sultan Sulaiman, Kampong Baru, Kuala Lumpur bagi tujuan melancarkan Penubuhan Majlis Perundingan NGO Melayu ( MPM ).

Antara NGO yang menggerakkan penubuhan MPM ini ialah Pertubuhan Pribumi PERKASA Malaysia, Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak), Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Persatuan Pemikir Profesional Melayu Malaysia dan Cuepecs.

PERKASA diwakili oleh Presidennya, Dato' Ibrahim Ali (gambar di atas), Mubarak oleh Tan Sri Abu Zahar Ujang dan Persatuan Pemikir Profesional Melayu Malaysia oleh Datuk Dr Kamaruddin Kachar.

Penubuhan majlis ini dilihat sebagai satu langkah berani yang dibuat oleh NGO-NGO Melayu yang antara matlamat penubuhannya ialah mempertahankan hak dan keistimewaan orang Melayu, membela kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi negara serta mendaulatkan Kesultanan Melayu. Dasar Ekonomi Baru yang belum lagi mencapai matlamatnya bagi orang Melayu serta soal keselamatan negara juga menjadi agenda utama perjuangan MPM. Sejauh mana matlamat ini dapat dicapai bergantung besar kepada semangat setiakawan antara NGO-NGO ini, penyelarasan aktiviti dan program, kepekaan dan sensitiviti kepada isu dan cabaran serta kesungguhan dalam perjuangan dan pembelaan.Perlu ditegaskan bahawa NGO-NGO lain yang tidak sempat hadir pada hari tersebut hendaklah dibawa masuk, agar majlis ini menjadi lebih kukuh dan meluas keanggotaannya.

Jika diteliti dengan lebih mendalam, fungsi utama MPM ini adalah untuk bertindak sebagai medium yang mengumpulkan NGO Melayu, yang mempunyai pendirian dan matlamat perjuangan yang hampir sama dalam menangani segala bentuk tekanan yang dihadapi oleh orang Melayu, agama Islam, Kesultanan Melayu, keselamatan negara dan ketenteraman awam serta isu-isu lain yang ada kaitan dengannya. Setiap NGO dipertanggungjawab untuk
memerhati, mengkaji dan seterusnya melapor serta membentang pelan tindakan bagi setiap isu yang ada kaitan dengan matlamat penubuhan majlis ini.Selaras dengan ini juga, majlis ini akan menentang habis-habisan segala bentuk penentangan dan provokasi terhadap isu-isu yang sedang dibela dan dipertahan.

Majlis juga telah membentang dan melulus beberapa resolusi yang akan dijadikan sebagai garis-panduan ke arah kelicinan, keberkesanan dan kekuatan pakatan ini :

+ Resolusi atau ketetapan ini mestilah berdasarkan fakta dan dokumen yang sahih dan
mencukupi dan ianya akan dibentang pada mesyuarat MPM untuk diperakui ;

+ mana-mana anggota MPM yang tidak bersetuju dengan resolusi atau ketetapan yang
sudah dipersetujui hendaklah menerima keputusan majoriti;

+ jika sekiranya ada mana-mana anggota MPM yang enggan menerima resolusi yang sudah
dipersetujui, maka mereka boleh memilih untuk tidak menandatangani resolusi tersebut
tanpa kehilangan atau keguguran keanggotaannya ; dan

+ Akan tetapi jika ada mana-mana anggota MPM menentang mana-mana resolusi atau
ketetapan yang dibuat oleh MPM, mereka secara otomatik gugur keanggotaannya di dalam
majlis ini.

Orang Melayu pasti menaruh harapan kepada majlis ini , sekurang-kurangnya untuk melihat
satu ikatan atau gabungan bangsa yang lebih bersatu daripada lebih bersengketa. Perpecahan yang berterusan di kalangan orang Melayu bukan sahaja merugikan tetapi yang lebih
merbahaya ia menjemput dan menggalakkan provokasi dan ancaman serta cabaran dari mereka yang sememangnya berniat buruk dari awal lagi.

Ahli-ahli PERKASA perlu menjadi telinga dan mata kepada majlis yang ditubuh ini. Sebarang penyelewengan dan kealpaan mana-mana pihak perlu ditangani dan diperbetul sesegera mungkin. Semoga kerjasama, kesepakatan dan ukhwah antara NGO-NGO yang menjadi perintis penubuhan pada 27hb itu dikekal dan diteruskan. Kata-kata negatif yang boleh melemahkan semangat perjuangan hendaklah diketepikan. Melayu perlu bangkit mempertahankan maruah bangsanya dan jika MPM boleh dijadikan sebagai salah satu wadah atau wahana untuk mencapai kecemerlangan dalam semua bidang bagi orang Melayu, maka amat logik sekali kita menyokongnya !



Ahad, 28 Februari 2010

PELANCARAN 3 SAYAP PERKASA

PELANCARAN 3 SAYAP PERKASA

Pelancaran tersebut telah diadakan pada hari Ahad 14 Februari 2010 di Dewan Tan Sri Mahfuz Khalid,Kementerian Kerja Raya Malaysia,Jalan Sultan Salahuddin ,Kuala Lumpur.Sambutan kepada majlis ini amat mengalakkan.Ahli-ahli PERKASA dari ketiga -tiga sayap hadir memberi sokongan dengan penuh semangat.
Ketokohan dan ketrampilan kepimpinan ke tiga -tiga ketua sayap ini menjadi faktor pendorong kejayaan dan kelancaran program ini.Pujian serta penghargaan harus di beri kepada mereka:


Ketua Wirawati : Saudari Zaira Bte Jaafar



Ketua Wiranita : Puan Raihan Bte Sulaiman Palestine


Ketua Wira : Saudara Arman Azhar Bin Abu Hanifah

Majlis pelancaran ini dimulai dengan satu sesi forum yang dikendalikan oleh Ybhg Dato' Asri Zainol Abidin pada pukul 4 Petang.

Ketibaan Presiden PERKASA Malaysia, Ybhg Dato Paduka Ibrahim Ali disambut oleh paluan kompang serta pertunjukkan seni silat.

Majlis pelancaran sebenar di mulakan dengan ucapan oleh ketiga -tiga ketua sayap PERKASA.Ucapan yang penuh semangat dan berapi-api telah memberi suntikan baru kepada generasi akan datang. Ybgh Dato Paduka Presiden di dalam ucapan perasmiannya,memuji dan menaruh harapan agar mereka dapat membantu merealisasikan falsafah dan teras perjuangan Perkasa itu sendiri.

Turut hadir bersama di majlis ini ialah Presiden GPMS Malaysia.

Ahad, 10 Januari 2010

Sabtu, 9 Januari 2010

PERHIMPUNAN AMAN

1. Bertempat di Dataran MPSPK, Sungai Petani, "Perhimpunan Ummah" - satu perhimpunan aman yang disertai oleh lebih 13 NGO Islam telah diadakan. Perhimpunan tersebut yang dijadualkan pada jam 2.30 petang terpaksa dimulakan lewat akibat hujan lebat sekitar 30 minit. Namun begitu semangat membara para peserta tidak luntur dan mereka mula berkumpul sebaik hujan berhenti.

2. Majlis dimulakan dengan bacaan do'a oleh Imam, Tuan Haji Mustoffa dan seterusnya diaminkan oleh lebih 500 orang peserta perhimpunan ummah.

3. Walaupun ada arahan-arahan yang melarang diadakan perhimpunan sedemikian, namun Perhimpunan Ummah yang diadakan pada hari tersebut berlangsung dalam suasana aman dengan kehadiran anggota keselamatan bagi memastikan bahawa tidak berlaku sebarang insiden yang tidak diingini.

4. Perhimpunan yang diadakan tersebut bukannya berniat untuk mencetuskan provokasi mahupun penentangan kepada mana-mana institusi berwibawa ataupun peruntukkan undang-undang tetapi lebih kepada meluahkan rasa tidak puashati tentang apa yang berlaku mutakhir ini.

5. Walaupun dalam keriuhan berdemonstrasi dengan disulami perasaan yang berbagai, umat Islam di negara ini masih lagi punya rasa simpati dengan insiden kebakaran ke atas 3 buah gereja di ibu kota. Ini jelas memperlihatkan bahawa sikap umat Islam yang rasional dan sentiasa menunjukkan belas kasihan yang tinggi.

6. Presiden PERKASA, Datuk Ibrahim Ali, ketika ditemubual di Kelantan juga menyatakan rasa kesal dan mengutuk perbuatan pihak yang tidak bertanggungjawab yang menyebabkan kebakaran tersebut.

7. Islam amat mementingkan keharmonian dan menentang semua bentuk kekerasan dan kekejaman serta menghormati anutan dan kepercayaan orang lain. Oleh itu perhimpunan tersebut juga meminta orang bukan Islam agar menghormati Agama Islam dan Umat Islam.


Gambar sepanjang 'Perhimpunan Ummah'

YDP Perkasa Kedah, Syed Osman sedang melayani temubual oleh wartawan setelah perhimpunan berakhir.

Tuan Haji Mustoffa membacakan doa bagi memberkati Perhimpunan Ummah pada hari tersebut.

Zahran menyampaikan ucapan dicelahan para peserta perhimpunan.


Ucapan oleh Mej (B) Anuar Abdul Hamid


Umat Islam yang berkumpul bagi menyatakan protes terhadap penggunaan kalimah ALLAH oleh pihak The Herald - Catholic Weekly

Khamis, 7 Januari 2010

NASIB UMAT ISLAM DI MALAYSIA

1. Satu perhimpunan akan diadakan diperkarangan Dataran MPSPK, Sungai Petani pada esok hari - Jumaat, 8/1/10, selepas solat Jumaat. Perhimpunan tersebut akan disertai oleh lebih 30 NGO Melayu Islam dengan diketuai oleh PERKASA Negeri Kedah.

2. Perhimpunan tersebut merupakan reaksi kepada keputusan The Herald - Catholic Church bagi menggunakan kalimah ALLAH untuk penerbitan mereka. Tindakan mereka tersebut jelas memperlihatkan sikap sebenar mereka yang mencabar Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahawa, Perkara 3(1) Ugama Islam ialah Agama Persekutuan; tetapi ugama-ugama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan.

3. Persoalan, mengapa sekarang? tidak timbul dan yang menjadi persoalan pada hari ini adakah AMAN dan DAMAI sebagaimana yang dinyatakan dalam peruntukkan tersebut wujud? Kita seringkali diingatkan jangan mencabar mahkamah, jika tidak dianggap menghina mahkamah. Jadi mencabar keputusan mahkamah itu adalah salah.

4. Tapi bagaimana pula bila mereka mencabar Perlembagaan. Bukankah Perlembagaan Persekutuan itu merupakan sumber undang-undang tertinggi negara? Jadi siapa yang mencabar siapa, siapa yang menghina siapa?

5. Jika beginilah tafsirannya "mencabar" dan "menghina/contempt", maka umat Islam akan sentiasa bersalah dan hanya boleh melihat dan menerima sahaja nasib mereka tanpa boleh berbuat apa! Kerana setiap tindakan umat Islam dikira mencabar dan menghina serta boleh dilabelkan PENGGANAS!

6. Benarlah firman Allah SWT dalam Al-Quran yang bermaksud, "tiada suka kepada engkau orang Yahudi dan Nasrani, sehingga engkau turut agama mereka." Al-Baqarah, ayat 120.

7. Walau apa juga alasan yang diberikan, penggunaan kalimah ALLAH oleh pihak berkenaan bukanlah jalan penyelesaian kepada masalah mereka sebaliknya menimbulkan lebih banyak masalah kepada umat ISLAM dan keamanan dan kedamaian negara.

8. Oleh itu apabila umat Islam bertindakbalas kerana merasakan mereka dihina maka janganlah mereka dipersalahkan sebaliknya renung kembali siapakah yang memulakan terlebih dahulu?

9. Oleh itu Umat Islam di negara ini harus segera sedar dan bangkit kerana agenda mempertahankan agama amat memerlukan kepada pengorbanan kita yang besar. Kita perlu meletakkan Urusan ALLAH no.1, urusan manusia no.2.