Sabtu, 9 Januari 2010

PERHIMPUNAN AMAN

1. Bertempat di Dataran MPSPK, Sungai Petani, "Perhimpunan Ummah" - satu perhimpunan aman yang disertai oleh lebih 13 NGO Islam telah diadakan. Perhimpunan tersebut yang dijadualkan pada jam 2.30 petang terpaksa dimulakan lewat akibat hujan lebat sekitar 30 minit. Namun begitu semangat membara para peserta tidak luntur dan mereka mula berkumpul sebaik hujan berhenti.

2. Majlis dimulakan dengan bacaan do'a oleh Imam, Tuan Haji Mustoffa dan seterusnya diaminkan oleh lebih 500 orang peserta perhimpunan ummah.

3. Walaupun ada arahan-arahan yang melarang diadakan perhimpunan sedemikian, namun Perhimpunan Ummah yang diadakan pada hari tersebut berlangsung dalam suasana aman dengan kehadiran anggota keselamatan bagi memastikan bahawa tidak berlaku sebarang insiden yang tidak diingini.

4. Perhimpunan yang diadakan tersebut bukannya berniat untuk mencetuskan provokasi mahupun penentangan kepada mana-mana institusi berwibawa ataupun peruntukkan undang-undang tetapi lebih kepada meluahkan rasa tidak puashati tentang apa yang berlaku mutakhir ini.

5. Walaupun dalam keriuhan berdemonstrasi dengan disulami perasaan yang berbagai, umat Islam di negara ini masih lagi punya rasa simpati dengan insiden kebakaran ke atas 3 buah gereja di ibu kota. Ini jelas memperlihatkan bahawa sikap umat Islam yang rasional dan sentiasa menunjukkan belas kasihan yang tinggi.

6. Presiden PERKASA, Datuk Ibrahim Ali, ketika ditemubual di Kelantan juga menyatakan rasa kesal dan mengutuk perbuatan pihak yang tidak bertanggungjawab yang menyebabkan kebakaran tersebut.

7. Islam amat mementingkan keharmonian dan menentang semua bentuk kekerasan dan kekejaman serta menghormati anutan dan kepercayaan orang lain. Oleh itu perhimpunan tersebut juga meminta orang bukan Islam agar menghormati Agama Islam dan Umat Islam.


Gambar sepanjang 'Perhimpunan Ummah'

YDP Perkasa Kedah, Syed Osman sedang melayani temubual oleh wartawan setelah perhimpunan berakhir.

Tuan Haji Mustoffa membacakan doa bagi memberkati Perhimpunan Ummah pada hari tersebut.

Zahran menyampaikan ucapan dicelahan para peserta perhimpunan.


Ucapan oleh Mej (B) Anuar Abdul Hamid


Umat Islam yang berkumpul bagi menyatakan protes terhadap penggunaan kalimah ALLAH oleh pihak The Herald - Catholic Weekly

Khamis, 7 Januari 2010

NASIB UMAT ISLAM DI MALAYSIA

1. Satu perhimpunan akan diadakan diperkarangan Dataran MPSPK, Sungai Petani pada esok hari - Jumaat, 8/1/10, selepas solat Jumaat. Perhimpunan tersebut akan disertai oleh lebih 30 NGO Melayu Islam dengan diketuai oleh PERKASA Negeri Kedah.

2. Perhimpunan tersebut merupakan reaksi kepada keputusan The Herald - Catholic Church bagi menggunakan kalimah ALLAH untuk penerbitan mereka. Tindakan mereka tersebut jelas memperlihatkan sikap sebenar mereka yang mencabar Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahawa, Perkara 3(1) Ugama Islam ialah Agama Persekutuan; tetapi ugama-ugama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan.

3. Persoalan, mengapa sekarang? tidak timbul dan yang menjadi persoalan pada hari ini adakah AMAN dan DAMAI sebagaimana yang dinyatakan dalam peruntukkan tersebut wujud? Kita seringkali diingatkan jangan mencabar mahkamah, jika tidak dianggap menghina mahkamah. Jadi mencabar keputusan mahkamah itu adalah salah.

4. Tapi bagaimana pula bila mereka mencabar Perlembagaan. Bukankah Perlembagaan Persekutuan itu merupakan sumber undang-undang tertinggi negara? Jadi siapa yang mencabar siapa, siapa yang menghina siapa?

5. Jika beginilah tafsirannya "mencabar" dan "menghina/contempt", maka umat Islam akan sentiasa bersalah dan hanya boleh melihat dan menerima sahaja nasib mereka tanpa boleh berbuat apa! Kerana setiap tindakan umat Islam dikira mencabar dan menghina serta boleh dilabelkan PENGGANAS!

6. Benarlah firman Allah SWT dalam Al-Quran yang bermaksud, "tiada suka kepada engkau orang Yahudi dan Nasrani, sehingga engkau turut agama mereka." Al-Baqarah, ayat 120.

7. Walau apa juga alasan yang diberikan, penggunaan kalimah ALLAH oleh pihak berkenaan bukanlah jalan penyelesaian kepada masalah mereka sebaliknya menimbulkan lebih banyak masalah kepada umat ISLAM dan keamanan dan kedamaian negara.

8. Oleh itu apabila umat Islam bertindakbalas kerana merasakan mereka dihina maka janganlah mereka dipersalahkan sebaliknya renung kembali siapakah yang memulakan terlebih dahulu?

9. Oleh itu Umat Islam di negara ini harus segera sedar dan bangkit kerana agenda mempertahankan agama amat memerlukan kepada pengorbanan kita yang besar. Kita perlu meletakkan Urusan ALLAH no.1, urusan manusia no.2.