Khamis, 4 Mac 2010

PENUBUHAN MAJLIS PERUNDINGAN NGO MELAYU (MPM)

PENUBUHAN MAJLIS PERUNDINGAN NGO MELAYU
(MPM)

Pada 27 Februari 2010, lebih daripada 50 Badan bukan kerajaan (NGO) Melayu berhimpun di Kelab Sultan Sulaiman, Kampong Baru, Kuala Lumpur bagi tujuan melancarkan Penubuhan Majlis Perundingan NGO Melayu ( MPM ).

Antara NGO yang menggerakkan penubuhan MPM ini ialah Pertubuhan Pribumi PERKASA Malaysia, Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak), Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Persatuan Pemikir Profesional Melayu Malaysia dan Cuepecs.

PERKASA diwakili oleh Presidennya, Dato' Ibrahim Ali (gambar di atas), Mubarak oleh Tan Sri Abu Zahar Ujang dan Persatuan Pemikir Profesional Melayu Malaysia oleh Datuk Dr Kamaruddin Kachar.

Penubuhan majlis ini dilihat sebagai satu langkah berani yang dibuat oleh NGO-NGO Melayu yang antara matlamat penubuhannya ialah mempertahankan hak dan keistimewaan orang Melayu, membela kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi negara serta mendaulatkan Kesultanan Melayu. Dasar Ekonomi Baru yang belum lagi mencapai matlamatnya bagi orang Melayu serta soal keselamatan negara juga menjadi agenda utama perjuangan MPM. Sejauh mana matlamat ini dapat dicapai bergantung besar kepada semangat setiakawan antara NGO-NGO ini, penyelarasan aktiviti dan program, kepekaan dan sensitiviti kepada isu dan cabaran serta kesungguhan dalam perjuangan dan pembelaan.Perlu ditegaskan bahawa NGO-NGO lain yang tidak sempat hadir pada hari tersebut hendaklah dibawa masuk, agar majlis ini menjadi lebih kukuh dan meluas keanggotaannya.

Jika diteliti dengan lebih mendalam, fungsi utama MPM ini adalah untuk bertindak sebagai medium yang mengumpulkan NGO Melayu, yang mempunyai pendirian dan matlamat perjuangan yang hampir sama dalam menangani segala bentuk tekanan yang dihadapi oleh orang Melayu, agama Islam, Kesultanan Melayu, keselamatan negara dan ketenteraman awam serta isu-isu lain yang ada kaitan dengannya. Setiap NGO dipertanggungjawab untuk
memerhati, mengkaji dan seterusnya melapor serta membentang pelan tindakan bagi setiap isu yang ada kaitan dengan matlamat penubuhan majlis ini.Selaras dengan ini juga, majlis ini akan menentang habis-habisan segala bentuk penentangan dan provokasi terhadap isu-isu yang sedang dibela dan dipertahan.

Majlis juga telah membentang dan melulus beberapa resolusi yang akan dijadikan sebagai garis-panduan ke arah kelicinan, keberkesanan dan kekuatan pakatan ini :

+ Resolusi atau ketetapan ini mestilah berdasarkan fakta dan dokumen yang sahih dan
mencukupi dan ianya akan dibentang pada mesyuarat MPM untuk diperakui ;

+ mana-mana anggota MPM yang tidak bersetuju dengan resolusi atau ketetapan yang
sudah dipersetujui hendaklah menerima keputusan majoriti;

+ jika sekiranya ada mana-mana anggota MPM yang enggan menerima resolusi yang sudah
dipersetujui, maka mereka boleh memilih untuk tidak menandatangani resolusi tersebut
tanpa kehilangan atau keguguran keanggotaannya ; dan

+ Akan tetapi jika ada mana-mana anggota MPM menentang mana-mana resolusi atau
ketetapan yang dibuat oleh MPM, mereka secara otomatik gugur keanggotaannya di dalam
majlis ini.

Orang Melayu pasti menaruh harapan kepada majlis ini , sekurang-kurangnya untuk melihat
satu ikatan atau gabungan bangsa yang lebih bersatu daripada lebih bersengketa. Perpecahan yang berterusan di kalangan orang Melayu bukan sahaja merugikan tetapi yang lebih
merbahaya ia menjemput dan menggalakkan provokasi dan ancaman serta cabaran dari mereka yang sememangnya berniat buruk dari awal lagi.

Ahli-ahli PERKASA perlu menjadi telinga dan mata kepada majlis yang ditubuh ini. Sebarang penyelewengan dan kealpaan mana-mana pihak perlu ditangani dan diperbetul sesegera mungkin. Semoga kerjasama, kesepakatan dan ukhwah antara NGO-NGO yang menjadi perintis penubuhan pada 27hb itu dikekal dan diteruskan. Kata-kata negatif yang boleh melemahkan semangat perjuangan hendaklah diketepikan. Melayu perlu bangkit mempertahankan maruah bangsanya dan jika MPM boleh dijadikan sebagai salah satu wadah atau wahana untuk mencapai kecemerlangan dalam semua bidang bagi orang Melayu, maka amat logik sekali kita menyokongnya !



Ahad, 28 Februari 2010

PELANCARAN 3 SAYAP PERKASA

PELANCARAN 3 SAYAP PERKASA

Pelancaran tersebut telah diadakan pada hari Ahad 14 Februari 2010 di Dewan Tan Sri Mahfuz Khalid,Kementerian Kerja Raya Malaysia,Jalan Sultan Salahuddin ,Kuala Lumpur.Sambutan kepada majlis ini amat mengalakkan.Ahli-ahli PERKASA dari ketiga -tiga sayap hadir memberi sokongan dengan penuh semangat.
Ketokohan dan ketrampilan kepimpinan ke tiga -tiga ketua sayap ini menjadi faktor pendorong kejayaan dan kelancaran program ini.Pujian serta penghargaan harus di beri kepada mereka:


Ketua Wirawati : Saudari Zaira Bte Jaafar



Ketua Wiranita : Puan Raihan Bte Sulaiman Palestine


Ketua Wira : Saudara Arman Azhar Bin Abu Hanifah

Majlis pelancaran ini dimulai dengan satu sesi forum yang dikendalikan oleh Ybhg Dato' Asri Zainol Abidin pada pukul 4 Petang.

Ketibaan Presiden PERKASA Malaysia, Ybhg Dato Paduka Ibrahim Ali disambut oleh paluan kompang serta pertunjukkan seni silat.

Majlis pelancaran sebenar di mulakan dengan ucapan oleh ketiga -tiga ketua sayap PERKASA.Ucapan yang penuh semangat dan berapi-api telah memberi suntikan baru kepada generasi akan datang. Ybgh Dato Paduka Presiden di dalam ucapan perasmiannya,memuji dan menaruh harapan agar mereka dapat membantu merealisasikan falsafah dan teras perjuangan Perkasa itu sendiri.

Turut hadir bersama di majlis ini ialah Presiden GPMS Malaysia.