Isnin, 2 November 2009

Kedah perlu kerjasama bangunkan kawasan

Kerajaan negeri diminta mengetepikan soal politik dalam usaha membangunkan kawasan-kawasan yang berpotensi dimajukan bagi kepentingan rakyat.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, kerjasama yang baik antara kerajaan Pusat dan negeri amat diperlukan bagi memajukan kawasan-kawasan di negeri itu terutamanya dalam bidang pelancongan dan industri.
''Saya yakin tiada siapa mahu lihat kawasan di Kedah tidak membangun. Oleh itu, kita perlu ketepikan soal politik demi rakyat.

''Saya harap apabila kita beri cadangan kepada kerajaan negeri untuk melaksanakan projek-projek untuk kebaikan rakyat, mereka tidak akan menolak atas alasan politik,'' ujarnya ketika ditemui di sini semalam.

Menurut Mukhriz yang juga Ahli Parlimen Jerlun, kerajaan negeri perlu bersedia untuk bekerjasama dengan Kerajaan Pusat sebaik mungkin untuk kepentingan rakyat.

''Melalui perbincangan tidak rasmi dengan wakil-wakil kerajaan negeri, mereka (kerajaan Pusat) sedia untuk memberi pertimbangan (bantuan).

''Saya harap kerajaan negeri Kedah sedia memberi kelonggaran bagi kawasan-kawasan tertentu untuk dimajukan seperti pembinaan tapak-tapak industri kecil dan sederhana (IKS),'' katanya.
Ini kerana jelas Mukhriz, agak rumit untuk mencari satu industri pada skala yang besar di Kedah disebabkan masalah tanah.

''Tanah banyak digunakan untuk menanam padi dan kerajaan negeri sudah buat satu ketetapan bahawa kawasan sawah padi tidak boleh ditutup untuk projek-projek pembangunan.

''Kerajaan negeri perlu kenal pasti kawasan mana yang berpotensi untuk dimajukan sebagai kawasan IKS untuk memberi peluang pekerjaan kepada penduduk di kawasan tersebut,'' ujarnya.

Tambah Mukhriz, ramai golongan muda yang berhijrah meninggalkan kampung kerana tiada peluang pekerjaan yang menarik untuk mereka.

''Dengan adanya kawasan-kawasan IKS pada skala yang besar, kita mampu menarik anak muda untuk kembali bekerja di kampung.

''Saya dan agensi-agensi di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri sedia membantu pada bila-bila masa jika diperlukan,'' katanya.

Perkasa cadang adakan pungutan suara

Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) mengalu-alukan kesediaan kerajaan untuk melaksanakan sistem pendidikan satu aliran mengikut kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata, pungutan suara boleh dilakukan selaras dengan prinsip demokrasi yang membenarkan keputusan majoriti.

“Tetapi jika ianya dipersetujui semua pihak, jika ditunggu untuk persetujuan semua pihak ianya sama seperti tunggu kucing tumbuh tanduk. Perkasa cadang adakan pungutan suara dan keputusan kaedah demokrasi jadikan panduan,” katanya dalam khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Sinar Harian, semalam.

Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas (Bebas) berkata, pemimpin yang hebat seharusnya berani membuat keputusan terbabit meskipun pada hakikatnya bukan keputusan popular.
“Pemimpin kena memimpin untuk menentukan aspirasi negara dan adakala mesti berani membuat keputusan tidak popular inilah yang dikata pemimpin hebat dan berwawasan,” katanya.

Beliau berkata, jika langkah terbabit dilaksanakan rakyat perlu menerimanya seiring dengan semangat demokrasi yang diperjuangkan selama ini.

“Rakyat semua kaum hormati keputusan demokrasi melalui pungutan suara kerana selama ini pun ada pihak yang selalu melaungkan demokrasi,” katanya.