Sabtu, 12 Februari 2011

SEMARAKAN A.P.I

  1. Pada 11 Februari 2011 yang baru lalu, Perkasa Daerah Kota Setar telah menganjurkan "Diskusi Memperkasakan Melayu" di Dewan Serbaguna Taman Wira, Mergong, Kedah. Kehadiran pada program malam tersebut cukup memberangsangkan dengan dihadiri lebih 100 orang muslimin dan muslimat.
  2. Program tersebut juga membawakan penceramah khas dari Universiti Utara Malaysia (UUM) iaitu Ybhg Dato' Dr Ahmad Faiz B. Abdul Hamid, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni bagi menyampaikan ceramah pada malam tersebut.
  3. Antara intipati ceramah TNC pada program tersebut ialah tentang pentingnya disemarakkan API dikalangan orang Melayu. API yang dimaksudkan beliau ialah, A (Agama - akhlak), P (patriotisme-kecintaaan kepada negara) dan I (ilmu). Orang Melayu menurut beliau harus kembali kepada perkasa asas tersebut demi kekuatan ummat Melayu dan Islam di tanahair ini.
  4. Lemahnya orang Melayu pada hari ini adalah kerana gagalnya mereka mempertahankan atau hilangnya nilai-nilai murni tersebut dari jiwa orang Melayu. Dengan menyemarakan API tersebut maka orang Melayu akan memperoleh kekuatan semula dalam semua aspek kehidupan kerana nilai-nilai tersebut merupakan nilai sejagat yang diterapkan oleh Islam.
  5. Orang Melayu juga disarankan agar menjauhi sifat-sifat seperti mencerca sesama Melayu dan Islam kerana itu merupakan senjata pemusnah yang membolehkan musuh-musuh Melayu dan Islam mengambil kesempatan untuk terus memecah-belahkan Melayu dan seterusnya meminggirkan Melayu dari kuasa mereka.
  6. Pengerusi Perkasa Daerah Kota Setar, Dato' Yusoff Ismail, dalam ucapan aluan beliau pula menggesa orang Melayu terus berpadu tanpa mengira warna politik. Perkasa yang menjadikan perjuagan sebagai wadahnya, harus dilihat oleh semua orang Melayu sebagai agen perpaduan dan kekuatan mutakhir ini.
  7. Isu kebangkitan rakyat serta protes terhadap kezaliman di beberapa buah negara seperti di Tunisia, Mesir, Sudan dan lainnya perlu dijadikan ikhtibar kepada orang Melayu untuk terus memastikan bahawa mereka teguh berpadu demi kuasa orang Melayu kekal sehingga hari kiamat! Sekiranya mereka sering bertelagah maka orang lain akan mengambil kesempatan. Akhirnya Melayu terpinggir.
  8. Majlis tersebut juga dihadiri oleh YDP Perkasa Kedah, Tuan Syed Osman Mansor, Timbalan YDP Saudara Zahran Abdullah dan barisan kepimpinan Perkasa negeri serta daerah.
  9. Menurut Pengerusi Daerah Kota Setar, program seumpama ini juga akan diadakan di 23 tempat lagi di seluruh kawasan Kota Setar sebagai inisiatif memberikan maklumat kepada seluruh masyarakat di daerah tersebut.